Sejarah Sekolah

SMK_Bandaraya

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BANDARAYA KOTA KINABALU (SMKBKK) atau dulunya dikenali sebagai SMK Menggatal telah di tubuhkan pada tahun 1967. Ketika pertama kali dibuka pada tahun 1967, hanya terdapat dua buah kelas tingkatan 1 dalam aliran Bahasa Inggeris dengan 51 orang pelajar dan 2 orang guru. Pada mulanya, sekolah ini menumpang di bangunan SRJK Good Sheppard, Menggatal pada sesi persekolahan petang. Tahun 1969, kelas peralihan telah dibuka bagi pelajar-pelajar yang datang dari sekolah bukan beraliran Bahasa Inggeris.

Tahun 1977, bilangan pelajar meningkat lagi kepada 468 orang dengan 12 buah kelas. Pada 24 Januari 1977, bangunan sekolah tetap bagi SMKBKK telah siap dibina dengan menelan belanja RM5.4 juta. Sekolah ini telah dibina di atas tapak seluas 30 ekar yang terletak di Batu 10, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu. SMKBKK berpindah sepenuhnya di bangunan baru pada tahun tersebut.

Mengimbas kembali sejarah perkembangan sekolah ini di bidang akademik. Buat pertama kali, pelajar SMKBKK menduduki peperiksaan LCE pada tahun 1970 bagi melayakkan mereka memasuki tingkatan empat. Tahun 1977, seramai lebih kurang 90 orang pelajar telah terpilih untuk mengikuti kursus matrikulasi Universiti Kebangsaan Malaysia di sekolah ini dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Walau bagaimanapun, 1985 kelas matrikulasi UKM ini telah dipindahkan ke Sekolah Berasrama Penuh Sabah (SBPS) di Bukit Padang, Kota Kinabalu Ini adalah kerana kedudukan sekolah ini lebih dekat dengan kampus UKM Cawangan Sabah. Sekolah ini juga pernah menempatkan pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Ugama (SMA Limau-limauan atau kini dikenali sebagai SMA Tun Mustapha) sebelum berpindah ke bangunan tetap di Papar. Kelas tingkatan enam juga telah dibuka pada tahun 1977 dan telah menempatkan pelajar-pelajar lepasan SPM dari seluruh Sabah.

Sehingga kini, bangunan SMKBKK terdiri daripada tujuh bangunan bilik darjah (blok A, B, C, D, E, F, G) , satu blok seni perusahaan, sebuah kantin, sebuah bangunan koperasi, sebuah bangunan menempatkan bilik disiplin, penyelia asrama dan Unit Bimbingan & Kaunseling, 2 blok asrama putera serta 2 blok asrama puteri yang boleh menempatkan seramai 400 orang pelajar. Selain daripada itu, sebuah Dewan Serba guna, sebuah surau, sebuah bangunan makmal komputer yang lengkap dengan kemudahan ICT yang telah dibina dan siap sepenuhnya pada tahun 2002. Tempat tinggal untuk kakitangan mengajar dan kakitangan bukan mengajar juga disediakan iaitu 2 blok Lat dan 4 buah rumah Division 1. Kemudahan untuk bersukan seperti padang bola sepak, gelanggang bola keranjang, bola tampar, sepak takraw, bola jaring dan permainan lain terdapat di SMKBKK.

Pada masa ini, bilangan pelajar SMKBKK telah mencapai angka 2,145 orang meliputi 1,319 orang pelajar menengah rendah dan 826 orang pelajar menengah atas (2004 – aliran Sastera & 141 – aliran Sains) dengan 65 buah kelas. Manakala bilangan kakitangan akademiknya seramai 137 orang (42 orang guru lelaki dan 95 orang guru perempuan) dan 16 orang Kakitangan Bukan Mengajar.

Sehingga kini, SMKBKK telah melahirkan ramai graduan yang bekerja dalam pelbagai sektor. Kegemilangan sekolah ini tidak berakhir begitu sahaja kerana pelbagai pencapaian telah diperolehi. Hasilnya dapat dilihat melalui pembangunan dari segi fizikal dan prasarana yang ada pada hari ini.

(Sumber dipetik: https://sites.google.com/site/smkbkkcom/sejarah-smkbkk)

Advertisements